Rabu, 21 April 2010

Mengembara di Tuaran


Salam bersua kembali pada semua('',)!
S.A.H.A.B.A.T... Saya yakin dan percaya semua orang tahu makna yang tersirat dalam satu kata yang simple tapi begitu signifikan dalam kehidupan harian kita. Seperti anda semua, saya juga mempunyai ramai kawan tetapi ada sedikit sahaja sahabat. Pada saya, sahabat adalah mereka yang berani menegur kesilapan kita dengan cara yang baik dan berhikmah tetapi tidak pada diri kawan. Erm... ok la. Sekarang saat untuk aku berkongsi cerita berkaitan aktiviti-aktiviti aku dengan kawan-kawan yang tinggal di Kolej Kediaman Indah Permai. Kolej tercinta! hehehehe..
Pada "study week" yang lepas, aku dan kawan-kawan telah merancang untuk pergi ke Tuaran dengan tujuan untuk memancing ikan. Macam best jak.. Hehehehe! Berangkat kesana tepat jam 8pagi. Kami memulakan perjalanan dengan bacaan doa agar segala perancangan kami berjalan lancar seperti yang telah di rancangkan.. Kami telah memilih satu tempat yang di rasakan sesuai untuk memancing ikan. Setelah berjam-jam menunggu dengan penuh sabar dan yakin, akhirnya seekor ikan pun kami xdapat. heheheheh!
Semua rasa kecewa. Walaupun matlamat utama di kira gagal, tapi matlamat yang paling utama mampu kami capai iaitu mengeratkan silaturrahim antara kami. Kami sempat bermandi manda dan membuat BBQ di sana. Hehehe! Best la jgak..
Gambar kat atas ni, aku ambik semasa berjalan-jalan di tepi pantai. He...

Ahad, 4 April 2010

Gangguan Was-Was (Dr. Mohd Asri)

Soalan: Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing. Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya.
Faisal, Klang.

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian:

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”. Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari). Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah. Firman Allah: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha: 120-121)


more information:

http://drmaza.com/home/?p=1052#more-1052

Ahad, 26 Julai 2009

KETIKA bayi ibu bapa membelai dan menatang anak dengan penuh kasih sayang dan apabila besar sewajarnyalah anak membalas kasih sayang yang diberikan.

Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka

RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." � (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." � (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." � (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

"Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.

"Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.

"Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.

"Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.

"Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan."

Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu." � (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.

Penulis ialah Mufti Perlis

Khamis, 9 April 2009

siapa diri anda

kita seringkali berkenalan dengan orang-orang baharu. bertanyakan nama, asal, hobi, siap ambik nombor telefon lagi. biasalah nak berkenalan, memang macam tu!
kadang-kadang kita lagi sibuk bermesej dan berchat dan mungkin juga sanggup menelefon orang yang baharu kita kenali berbanding kita bertanya khabar keluarga tercinta. Siapa diri kita?
mungkin ada yang tiap hari menelefon keluarga tersayang. alhamdulillah! tapi bagi mereka yang terasa, ubahlah diri tu... cuba tanya diri sendiri, selalukah kita mendoakan mereka? soalan lagi power, kita solatkah? bermacam nikmat ALLAH kurniakan kepada kita tetapi apa yang kita syukuri. ALLAH minta dua perkara jak yang mengandungi sejuta satu hikmah. taat perintahnya jauhi larangannya...
kita belum terlewat, bertaubatlah... mohon maaf kepada keluarga tersayang, mohon ampun pada ALLAH, tuhan yang maha penyayang lagi maha pengampun!
kenali diri sebelum kenali orang lain. . .

Jumaat, 13 Februari 2009

janganlah bergurau kerana...

"Janganlah bergurau kerana umat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara_ wasiat Hasan al-Banna"

Selepas mewasiatkan supaya kita tak banyak ketawa, maka asy-Syahid Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam yang benar-benar ingin berdakwah dan berjihad di jalan Allah agar tidak banyak bergurau dalam pergaulan sehariannya.
Menurut beliau, umat yang berjuang itu selalu sibuk bermuhasabah mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Masalah yang membelenggu umat Islam terlalu banyak, sedangkan mereka yang ingin menyelesaikan masalah tersebut tidak ramai.
Sekiranya umat Islam banyak bergurau maka sudah pastilah masalah-masalah umat Islam itu tidak mudah diselesaikan. Sebab itulah beliau menyeru kita agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
Bersungguh-sungguhSabda Rasulullah s.a.w, 'Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.' (Riwayat Abu Daud).
Menurut hadis ini, apabila seseorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah s.w.t.
Mungkin kita tertanya-tanya, kenapakah Allah s.w.t sukakan Muslim yang bersikap tekun dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya? Mungkin.. salah satu sebabnya ialah kerana Tuhan sendiri bersikap tekun dan bersungguh-sungguh tatkala Dia mencipta makhluk dengan serba kesempurnaan.
Hal ini disokong oleh sebuah hadis lain; "Sesungguhnya Allah itu cantik dan indah. Dan, dengan sebab itu, Dia sukakan keindahan.."
Barangkali.. sebab itu juga Tuhan benci manusia yang 'mencacatkan' kesempurnaan ciptaanNya. Jika lelaki menukar jenisnya kepada wanita dan wanita pula menukar jenisnya kepada lelaki, maka hal itu termasuk dalam kategori 'mencacatkan' kesempurnaan.
Demikian juga.. kalau kita menukar wajah rupa paras muka bumi yang serba hijau dengan tumbuh-tumbuhan sehingga porak-peranda atas alasan pembangunan, maka berlakulah ketidaksempurnaan dengan kejadian bukit runtuh dan sebagainya.
Betapa berhati-hatinya Tuhan dalam penciptaanNya, dapatlah kita gambarkan menerusi al-Quran sendiri. Kerapkali disebut bahawa Allah s.w.t menyusun, mencipta alam ini dalam tempoh 6 hari, 6 masa atau 6 fasa. Hal yang sama turut diungkap pada awal-awal ungkapan sebagai yang tertera dalam Perjanjian Lama.
Oleh kerana, sikap berhati-hati, tekun dan bersungguh-sungguh ini adalah sifat Tuhan ketika menciptakan alam ini, maka sebab itulah Tuhan menyukai Muslim yang suka bersungguh-sungguh, tekun dalam menunaikan pekerjaannya.
Terzahir sikap kesungguhan Tuhan itu dalam menzahirkan penciptaannya, sehinggakan Dia mempertahan kewujudan makhluk ciptaanNya yang bernama manusia walaupun keputusan mewujudkan khalifah tersebut dipersoalkan oleh para malaikat.
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [Al-Baqarah: 30]
Maka, sikap bersungguh-sungguh, tekun membuat pekerjaan itu bukan cuma terletak pada sikap suka menyempurnakan kerja kita sehingga selesai. Malah, jika pekerjaan kita yang baik itu disanggah orang, maka kita akan tentu berusaha keras mempertahankannya!
Sikap kesempurnaan tindak tanduk Tuhan inilah yang perlu dicontohi oleh para dai'e, pendakwah dan mubaligh Islam ketika berusaha keras menyebarkan dakwah mereka walaupun ada tekanan penguasa dan pemerintah yang zalim dan kejam.
Pendakwah yang bersungguh-sungguh dan tekun berdakwah pasti tidak akan mengalah, malahan akan terus berjuang walaupun usaha dakwah mereka akan disekat dan dibantah pemerintah!
Tuhan sukakan Muslim yang bersungguh-sungguh membuat kerja yang baik, apatah lagi, kalau pekerjaan itu terkait dengan urusan dakwah Islam, menyebarkan kefahaman Islam. Ketekunan berceramah, menulis dan mengarang bahan-bahan ilmiah akan menyebabkan umat itu terlepas bebas daripada belitan tipu daya penguasa yang sombong dan zalim.
Tuhan tidak menyukai pendakwah yang mengalah, patah hati, kecewa dan merajuk sehingga meninggalkan usaha dakwah ke atas umatnya. Sebab itulah Tuhan merakam kisah Nabi Yunus a.s ditelan ikan Nun setelah baginda meninggalkan dakwah ke atas kaumnya sebagai suatu pengajaran.
Namun begitu, perihal taubat Nabi Yunus dalam al-Quran turut dirakam agar para pendakwah segera bertaubat jika mereka mengalah terhadap sebarang usaha pemerintah yang menyekat dakwah tersebut.
Oleh itu, pendakwah atau mereka yang beriltizam mewakafkan waktu mereka untuk berjuang memansuhkan ISA, Auku, PPSMI dan lain-lainnya janganlah pernah berhenti daripada berjuang, setelah mereka meyakini bahawa telah berada di landasan yang benar dalam perjuangan ini.
Pemerintah mesti bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rakyatSekiranya manusia Muslim itu seorang pemimpin negara, maka hendaklah dia segera menyelesaikan urusan rakyatnya sehingga sempurna. Janganlah pemerintah itu suka melambat-lambatkan tuntutan rakyat seperti melewat-lewatkan agihan gaji pekerja dengan memberikan pelbagai alasan.
Jika penguasa Muslim itu sudah meluluskan peruntukan untuk membangunkan sebuah projek perumahan, maka janganlah dia membiarkan rumah-rumah itu tidak siap atau terbengkalai pada akhirnya. Terbengkalainya sesebuah tapak projek perumahan melambangkan sikap tidak bersungguh-sungguh, tidak tekun dan cuainya penguasa itu ke atas masalah rakyatnya.
Kerja yang belum beres, tidak selesai atau projek yang tidak sempurna ini adalah simbol, lambang atau kesan daripada sikap penguasa yang tidak bersungguh-sungguh atau sikap tidak jujur seseorang penguasa itu. Mungkin pemerintah itu suka bergurau, bercanda, bermain-main dengan wanita di bar, kelab malam dan coffee house serta bermain golf pada waktu lapang.
Perjuangan belum selesai.. sebuah retorik sifar!Dengan tiba-tiba, pada setiap kali perhimpunan parti, pemimpin jugalah yang kerap bersikap hipokrit dengan melaungkan bahawa perjuangan mereka belum selesai! Ya lah! Nak selesai macam mana kalau mereka asyik bergurau dan tidak bersungguh-sungguh membuat kerja!
Walhal sikap suka buang masa, tidak peka masalah rakyat kerana suka bermain golf, dan sikap tidak prihatin dengan bebanan rakyat itulah yang menyebabkan 'perjuangan' projek perumahan mereka telah terbengkalai.
Tapi.. bagi masyarakat yang masih belum terbangkit lagi kesedaran dan pencerahannya, akan mudahlah ditipu dengan ungkapan-perjuangan belum selesai itu. Lalu, slogan perjuangan belum selesai itu, dengan tiba-tiba melonjakkan nama para penguasa itu di mata rakyat, bahawa kononnya mereka itulah pejuang bangsa!
Perjuangan belum selesai hanyalah retorik sifar, sedangkan masa yang terluang bagi seseorang penguasa itu amat berharga.
Kisah termasyhur Saidina Umar mengendong gandum ke rumah janda-janda pada waktu malam sepatutnya menjadi pengajaran terhadap para penguasa yang asyik beretorik itu. Diriwayatkan.. tatkala Ali k.w meninggal dunia, ramailah balu dan janda yang menangis. Antara keluhan mereka..
"Selepas ini, siapa lagi yang akan mengetuk pintu rumah kami dan mengendong gandum," demikianlah raungan mereka itu. Pecahlah rahsia Saidina Ali pada ketika wafatnya itu. Demikianlah Umar dan Ali mewakafkan masa malam guna membuat amal soleh kepada rakyat termiskin.
Adakah khalifah ini suka membuang masanya untuk bermain golf, berhibur dangdut dan berlibur di luar negeri mengangkut perempuan sedangkan rakyatnya masih menderita kelaparan seperti yang terjadi pada zaman ini?
Arakian inilah antara sebab kenapa banyak masalah umat hari ini yang masih tidak beres. Sudahlah masalah tidak beres kerana mereka asyik membuang masa di padang golf, tiba-tiba mereka pula mengeluh sambil 'sembang deraih' kepada rakyat dengan menyatakan bahawa 'perjuangan' mereka belum selesai.
Percayalah.. semua ini berlaku kerana, pemimpin umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerja, cuai dalam pekerjaannya, suka bermain golf dan tidak banyak meluangkan masa dan mewakafkan waktunya untuk membela nasib rakyat.
Jika 'membela' sekali pun, mungkin mereka cuma membela ahli-ahli partinya kerana mahu imbuhan sesuatu atau mereka membantu dengan sokongan media kerana mahukan publisiti murahan.
Rakyat wajib menyiasat ke arah mana peruntukan waktu dan jadual ahli parlimen kita itu. Kita perlu bermuhasabah, menghisab ke arah mana menteri-menteri berhibur dan berlibur selama ini.
Jangan lagi, buat selama-lamanya kita yakin, percaya lalu menganggap bahawa kemiskinan kita berpunca daripada kelemahan kita sendiri. Mungkin 30 peratus kemiskinan rakyat kita berpunca daripada kelemahan kapital, kekurangan modal dan kebodohan sendiri.
Tapi, percayalah bahawa antara punca kelemahan kita hari ini, 70 peratus daripada bermuara daripada sikap kealpaan dan kelemahan penguasa dalam menyusun jadualnya untuk bertemu dengan rakyat dalam acara tidak rasmi.
Hasan al-Banna menyeru umat Islam supaya jangan banyak bergurau. Tapi, kalau penguasa kurang bergurau dan selalu memantau iman rakyat, berusaha keras memimpin kesedaran dan pemerintah sendiri kurang bergurau dan membuang masa, nescaya rakyat pun akan menjadi serius kerana mereka memahami bahawa dunia ini, hakikatnya adalah sebuah jambatan untuk menuju ke akhirat.
Sekali lagi.. 70 peratus kelemahan umat Islam hari ini bermuara daripada sikap penguasa yang tidak bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan dan tugasnya sebagai pemerintah. Wallahu'alam..